Wednesday 30 November 2011

NKRA - LITERASI & NUMERASI


Peluasan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan Setiap kanak-kanak* menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi selepas 3 tahun mengikuti pendidikan rendah pada akhir tahun 2012 .
*Kanak-kanak berkeperluan khas – didefinisikan sebagai murid bermasalah pembelajaran, masalah pendengaran, masalah pertuturan, masalah penglihatan, terencat akal, mempunyai pelbagai kecacatan, dan kurang upaya secara fizikal. Kurikulum khas literasi dan numerasi dibentuk untuk kanak-kanak berkeperluan khas.

LINUS


PENGENALAN

Ministery Key Performance Indicators (MPKI) KPM telah menyasarkan bahawa semua murid normal berkeupayaan untuk menguasai asas literasi dan numerasi selepas tiga tahun mengikuti pendidikan rendah menjelang 2012. Pembentangan konsep NKRA kepada YAB Menteri Pelajaran pada 10 Ogos 2009 memutuskan bagi mencapai MPKI 2, kemahiran guru dalam melaksanakan pemulihan dan bimbingan untuk mencapai literasi dan numerasi perlu ditingkatkan. LINUS mula dilaksanakan pada tahun 2010 melibatkan murid Tahun 1 di semua sekolah rendah (Kohort Pertama). Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) telah dipertanggungjawabkan untuk menerajui usaha mengatasi masalah literasi dan numerasi dalam kalangan murid sekolah rendah. Bahagian Pendidikan Guru (BPG) telah dipertanggungjawabkan memberi latihan kepada guru dengan kerjasama semua Jabatan Pelajaran Negeri melalui Bidang Matematik dan Bidang Bahasa Melayu di Sektor Pengurusan Akademik.

OBJEKTIF
1.Membimbing murid untuk mencapai literasi dan numerasi.
2.Memantau prestasi murid dalam Program LINUS.
3.Merangka program pemulihan pembelajaran murid LINUS.
4.Menjalankan kursus dalaman di sekolah khususnya kepada semua guru Tahap 1.

KUMPULAN SASARAN
Guru Tahap 1 Sekolah Rendah (Bermula dengan guru Tahun 1, 2010).

PELAKSANAAN PROGRAM
Pihak sekolah diminta mencalonkan wakil guru (seorang guru Literasi dan seorang guru Numerasi) kepada pegawai meja di Jabatan Pelajaran Negeri untuk menghadiri kursus LINUS peringkat negeri. Pada tahun 2010, kursus peringkat negeri dilaksanakan untuk guru Tahun 1 diikuti dengan guru Tahun 2 pada tahun 2011 dan guru Tahun 3 pada tahun 2012. Kursus ini dibimbing oleh Jurulatih Utama LINUS yang telah mendapat latihan pusat anjuran Bahagian Pendidikan Guru. Pengisian kursus melibatkan aktiviti ceramah, perbengkelan dan pembentangan. Guru tersebut wajib melaksanakan kursus dalaman kepada warga guru di sekolah khususnya kepada guru Tahap 1. Terdapat tiga peringkat saringan dijalankan setiap tahun iaitu pada bulan Mac, Jun dan September untuk memantau prestasi murid LINUS. Murid LINUS yang tidak mencapai aras konstruk yang ditetapkan diwajibkan mengikuti program LINUS menggunakan Modul LINUS yang dibekalkan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum.

PENUTUP
Program LINUS merupakan satu pendekatan bersepadu yang perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh supaya masalah literasi dan numerasi dapat dikesan dan dipulihkan seawal murid berada di Tahap 1. Perkara ini perlu diberi perhatian serius oleh pihak sekolah dan PPD selaku "ownership" kepada pelaksanaan LINUS di daerah kerana murid yang tidak menguasai kemahiran asas 3M merupakan kumpulan yang berisiko keciciran dan berhadapan dengan kesukaran memenuhi keperluan melanjutkan pelajaran dan kerjaya.



MASALAH LITERASI MURID LINUS TAHUN 1


Ketika ini, guru Tahun 1 telah memulakan sesi pengajaran pembelajaran untuk murid baharu Tahun 1 mnggunakan medium KSSR. Tentulah berbagai ragam murid yang dihadapi dan cikgu sudah boleh mengenalpasti tahap murid cikgu sebelum mereka menghadapi Saringan 1 Literasi pada bulan Mac nanti. Murid-murid yang telah memperoleh asas 3M di Prasekolah sekurang-kurangnya mereka boleh mengenal huruf dan membaca sukukata. Namun masih ada sebahagian murid yang langsung tidak boleh mengenal huruf apatah lagi membaca sukukata dan ini meresahkan cikgu kerana calon murid LINUS sudah ada. Inilah antara keluh-kesah yang kami terima apabila pergi ke sekolah cikgu. Untuk murid-murid ini, kaedah latih tubi yang berterusan perlu dijalankan sebelum bulan Mac nanti agar mereka boleh melepasi Kontruk 1 dan Konstruk 2. 
Cikgu boleh menggunakan kaedah yang akan ditunjukkan ini. Sila Klik pautan di bawah. Mungkin ini boleh membantu cikgu!
http://epkhas.ses.usm.my/lesson-plan/mengenal-mengecam-nama-bunyi-dan-bentuk-huruf